W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

March 27, 2016

SESUAIKAH KENYATAAN "SIAPA CEPAT DIA DAPAT" DIGUNAKAN DALAM KALANGAN PENIAGA ONLINE?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Aku terpanggil untuk menulis topik mengenai perkara ini kerana perkara ini sering kali berlaku dalam urusan perniagaan online. Perniagaan online itu tidak salah, cuma pengurusan peniaga online itu perlu dipertingkatkan untuk kemudahan pembeli. Namun, bukan semua peniaga online mengambil inisiatif untuk memperbaiki urusan perniagaan dan lebih mengecewakan peniaga-peniaga online ini  lebih mengejar keuntungan tanpa menjaga hubungan dengan customer. Jika hendak tahu lebih lanjut tentang perkara ini, teruskan membaca entri keseluruhan.

Penggunaan kenyataan "Siapa cepat dia dapat" sering digunakan dalam peniagaan, namun sebilangan kecil sahaja yang betul-betul memahami konsepnya. Ramai peniagaan menggunakan penyataan tersebut tanpa mengambil peduli tentang pelanggan, dan apa yang mereka peduli adalah "asalkan duit masuk, stok habis". 

Istilah atau kenyataan "Siapa cepat dia dapat" tidak sesuai digunakan sekiranya peniaga sendiri yang tidak cepat dan efisyen dalam membalas whatsapp daripada pihak customer. Bagi aku, kenyataan itu hanya sesuai digunakan jika pihak peniaga membuka kedai di tempat awam dan semua orang terpaksa berebut membeli barangan pada ketika itu juga. 

Jika peniaga hendak menggunakan alasan "Banyak customer", "saya bukan robot", dan lain-lain lagi alasan yang relevan kepada pihak pembeli, perlu digunakan secara berhemah tanpa memerli atau mengata customer anda semula. Peniaga kena ingat, pembeli adalah punca rezeki. Kalau tidak mampu jaga pembeli kerana kelemahan sendiri sebagai seorang "manusia", tidak perlu marah atau perli pembeli anda. Itu namanya tidak profesional. 

Kalau peniaga hendak berniaga, belajar untuk balas cepat sebarang pertanyaan dan proses urusan jual beli di dalam whatsapp, facebook atau mana-mana medium perniagaan yang peniaga gunakan. Kalau tidak mampu membalas dan melayan customer dengan cepat kerana anda juga perlu menguruskan hal lain, maka sila cari satu jangka masa yang sesuai dalam sehari, yang mana anda sebagai peniaga betul-betul boleh membalas semua whatsapp customer anda. Misalnya menetapkan waktu seperti; 

"Saya hanya boleh membalas whatsapp customer pada pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 3.00 petang dan pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam."  

Antara sebab rasional aku menegaskan para peniaga ambil inisiatif untuk meletakkan waktu membalas whatsapp customer adalah kerana memudahkan customer untuk berurusan dengan peniaga itu sendiri. Ini kerana kadang-kala ada satu kes customer telah whatsapp kepada peniaga untuk membeli barang kemudian disebabkan ada urusan penting, pihak customer terpaksa keluar untuk menguruskan perkara lain. 

Dalam pada masa itu, bilamana peniaga pun baru nak membalas whatsapp, customer pula yang tidak dapat berurusan dengan pihak peniaga dalam urusan pembelian. Bila pihak pembeli hendak berurusan dengan pihak peniaga mengenai barangan yang dibeli, barang sudah pun menjadi hak orang lain. Apabila sudah jadi kes seperti ini, jangan terkejut kalau ramai customer boleh meroyan dan marah kerana whatsappnya dibalas dengan lambat. Bagi aku, dalam kes ini pembeli ada hak untuk merasakan tidak puas hati kerana pembeli juga berusaha untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki dengan menunggu respon daripada pihak peniaga.

Tetapi disebabkan kelemahan daripada pihak peniaga itu sendiri, usaha pembeli itu seolah-olah menjadi sia-sia.  Bila mana ada customer mempamerkan rasa tidak puas hati terhadap proses urusan perniagaan tersebut, peniaga menyalahkan semula pembeli dengan mencari semula kelemahan customer dan ada juga yang memberi penegasan, "siapa cepat dia dapat".  

Bila istilah "siapa cepat dia dapat" digunakan dalam perniagaan secara atas talian seperti facebook, instagram, seolah-olah hak pembeli itu sudah tidak dijaga. Iyalah, pembeli bagi whatsapp tapi tidak dibalas peniaga. Bagi aku, kenyataan ini hanya sesuai digunakan sekiranya peniaga membalas respon urusan peniagaan dengan pantas dan efisyen. Misalnya urusan pembelian online di LAZADA, kenyataan tersebut sesuai digunakan kerana ianya tidak melibatkan pihak peniaga itu membalas whatsapp, sebaliknya kita membuat pembelian secara automatik di laman sesawang tersebut. 

Bagi aku, aku tiada masalah dengan peniaga-peniaga online. Ada sebahagian besar rata-rata peniaga merungut kerana tidak sempat membalas whatsapp customer kerana terlalu ramai, ada juga berurusan dengan customer hingga lewat malam. Aku tahu dan faham hakikat penat melayan customer selama 24 jam, makanya penulisan entri aku ini bukan niat untuk "smash" pihak peniaga. Cuma, pihak peniaga juga perlu memahami pembeli yang juga merupakan seorang manusia yang ada jadual waktu dan mempunyai kehendak masing-masing. 

Aku sebagai seorang customer menegur peniaga agar perkara ini dapat diatasi. Memang betul, peniaga juga seorang manusia yang mempunyai waktu mereka sendiri - mereka perlu berehat. tidur, solat dan makan, namun peniaga juga perlu bijak untuk menguruskan perniagaan mereka. Dan betul, customer perlu bersabar. Namun, jangan "smash" customer anda semula jika anda sudah lambat memberi respon kepada customer anda. Jika kelemahan itu datang daripada anda, belajar untuk atasi kelemahan itu, JANGAN cari salah orang lain. 

Oleh itu aku sarankan peniaga online ini, tetapkan waktu yang sesuai dan membolehkan customer berurusan dengan peniaga. Bila peniaga dah tetapkan waktu urusan perniagaan, barulah customer pun mengurus jadual hariannya untuk berurusan dengan pihak peniaga. Peniaga perlu mewujudkan win-win situation dengan para pembeli jika tidak mahu pembeli mempertikaikan urusan perniagaan anda. 

Maaf jika penulisan aku kali ini ada membuat mana-mana pihak terasa hati dengan aku. Cuma, aku sebagai customer juga ada perspektif dan pendapat peribadi mengenai kesilapan dalam pengurusan peniaga online. Aku tidak kata semua peniaga online bermasalah, cuma peniaga online perlu belajar untuk mempertingkatkan urusan perniagaan. 

Sekian dan wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...