W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, kekasih, guru di pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

December 30, 2013

Perihal Mereka yang Suka Mengata

Assalamualikum dan salam sejahtera. 

Bertemu kita lagi dalam rancangan "Tanyalah Lia". Hai kawan-kawan, apa khabar semua? Apa khabar iman kalian disana dan disini pula? Harap semuanya dalam keadaan baik dan sihat walafiat. Kalau tak sihat, pandai-pandailah sihat-sihatkan diri ya. Mampu uols?

krik..krik..krik... *Bunyi Cengkerik*

Okay, enough with this nonsense. Tak laku sebenarnya blog aku ni. Mana ada orang nak baca pun. Saja je nak buat introduction macam tu. Bak kata orang, nak hidupkan suasana. Entah suasana apa pun aku tak tahu. Kaki mengarut saja aku ni.

Pernah kalian dalam satu situasi rasa untuk benci diri sendiri sebab kekurangan diri? Atau ada banyak manusia menegur korang sampai satu tahap semua benda manusia itu nak tegur. Sampai satu tahap rasa tidak boleh jadi sendiri. Pernah tak? Pernah tak?

Jangan risau. We're in the same boat brothers and sisters! Kadang-kala mesti rasa rimas sampai benak kepala pun nak pecah melayan setiap tomahan kritikan daripada manusia macam ni. Sampai satu tahap kalau dah geram sangat, rasa nak smash muka setiap manusia tu dengan perkataan "Can you shut your mouth and appreciate me for who I am?" Tapi tak berani nak berkata-kata sebab kita kena belajar kawal perasaan geram tu.

Bagi pandangan peribadi, aku melihat manusia yang suka mengata dan mengritik kekurangan orang lain ni pada hakikatnya dia mahu kita ada persamaan dengan dia, sama seperti dia. Dia melihat kelemahan orang lain itu seolah-olah diri dia tiada kelemahan. Mengata orang lain secara fizikal (terlalu gemuk atau kurus), perilaku yang mungkin berbeza daripada dia (perhaps cara berjalan, makan dll) dan sifat-sifatnya. 

Nak tahu kenapa aku berfikiran seperti ini? Okay, secara logik akal, setiap manusia itu berbeza, genetik pun berbeza, apatah lagi cap cari. Bukan itu sahaja, kita pun dilahirkan dalam latar belakang yang berbeza. Setiap manusia mana nak sama cara dia dibesarkan oleh ibu dan bapa. Kalau mak bapak jenis suka penerajang orang, maka anak pun jenis suka penerajang orang lain. 


Bila kita dibesarkan dan didik dalam satu suasana yang berbeza, maka pembawaan diri kita juga antara setiap individu tak sama. Maka kita akan jumpa pelbagai jenis manusia yang berbeza dengan kita. Yang jadi masalah bila ada manusia tak boleh terima diri kita yang mungkin jalan senget, kengkang, mungkin cara ketawa tu macam orang tak cukup nafas, mungkin cara berpakaian tak cukup up-to-date atau macam orang tua dan macam-macam lagi. 

Aku sedih bila berhadapan dengan manusia macam ini sebab dia seolah-olah mahu orang jadi seperti dia. Dia mahu orang menjadi kurus seperti dia jika orang yang dia mengata itu berbadan besar dan sebaliknya. Come on-lah, like I said before, setiap orang itu dilahirkan dari latang belakang yang berbeza. Don't expect orang lain seperti kita, jangan tutup minda tu.

Kita kena kenal diri kita sebaik-baiknya, mana ada manusia yang sempurna. Kadang-kala orang yang mengata tu mungkin tidak sedar bahawa diri dia sendiri pun ada kelemahan tu kerana terlalu sibuk pandang kelemahan orang lain. Bila kita melihat kelemahan orang lain dengan rasa penuh benci dan pandang rendah, kita pada hakikatnya seolah-olah pandang rendah pada diri kita yang ada kelemahan.

Tambahan lagi, bila kita gagal menerima kelemahan orang lain, pada masa yang sama juga kita gagal menerima kelemahan kita. Which means, orang yang suka mengata itu sebenarnya ada self-esteem yang rendah. Untuk tutup kelemahan dia, dia mengata orang lain so that orang tidak fokus pada dia tapi difokus pada orang yang dimengata itu.

This thing never shows you're a better person, sebaliknya kita mempamerkan kelemahan kita yang lebih banyak, iaitu suka mengata orang, tahap ego yang tinggi dan membangga diri. Orang yang rendah diri tidak akan sibuk menjaja kelemahan orang lain sebab dia sendiri tahu kelemahan yang ada pada dirinya. Jadi, kenapa perlu sibuk nak mengata kelemahan orang lain?

Beginilah, cubalah belajar terima kelemahan orang lain. Kalau kelemahan dia itu boleh merosakkan hubungan sesama manusia, maka tegurlah secara berhikmah. Guna perkataan yang baik dan janganlah mudah menghukum dia. Sebabnya mengubah sesuatu yang telah menjadi habit atau rutin dalam diri seseorang itu bukan ambil masa sehari dua, tapi berbulan-bulan dan mungkin bertahun.

Janganlah terlalu expect orang disekeliling kita ni terlepas dari segala kelemahan. Mereka manusia yang ada kelemahan, terima dia dan kelemahan dia. Jika kelemahan dia adalah berdosa kepada Allah, maka perlahan-lahan mendidik kawan kita. Memang sentiasa menjadi tanggungjawab sesama muslim untuk menjaga satu sama lain. Bukankah islam itu bersaudara?

Dan jika kelemahan dia adalah fizikal dia, maka bantulah dia sama ada dikuruskan atau ditambahkan berat badannya. Jika tidak mampu membantu, berilah sokongan motivasi instead mengata dia. Kalau kita mengata, apa yang kita dapat sebenarnya? Tiada apa-apa cuma merugikan diri sendiri. Dosa pun dapat, orang pun tidak akan suka pada kita.

So, for those yang pernah dimengata dan banyak kali dimengata hanya kerana beberapa kejahilan dan kekurangan kita, jangan cepat sentap dengan kata-kata manusia yang minda tertutup. Jikalau boleh secara perlahan-lahan perbaiki diri dan kelemahan kita. Jika kelemahan itu diatasi, maka kita juga yang untung, bukan orang lain.

Jika kelemahan itu tidak boleh diatasi atas sebab kelemahan sejak lahir, maka terima dengan hati yang redha. Kelemahan yang diperolehi dan diberi olehNya bukan satu alasan bagi manusia untuk tidak boleh berjaya. Kerana kejayaan seseorang itu tidak bergantung kepada kesempurnaan dia secara fizikal, tetapi kekuatan dia menangkis setiap tomahan, kritikan dan semangat tidak kenal putus asa. Itulah kekuatan dan kehebatan sebenar bagi seorang manusia.

Sekian sahaja coretan daripadaku dan wassalam.

December 14, 2013

Terima kasih

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 Terima kasih, bukanlah sesuatu perkataan yang sia-sia apabila diucapkan kerana ianya satu ungkapan yang mana kita menghargai sesuatu yang telah dilakukan oleh seseorang kepada kita. Kalau kita tidak ungkapkan ucapan itu, aku rasa sesiapa pun akan rasa dirinya tidak dihargai, kan? Jadi bagi menghargai jasa seseorang yang telah berbudi dengan kita, maka kita pun perlu bersiap sedia untuk berbahasa dengan ucapan 'terima kasih' dengan sopan.

Biasanya, kalau ungkapan itu tidak diucapkan kepada mereka, sudah pasti akan ada jiwa yang terasa. Tapi ada jugak hamba Allah yang kental, jenis tidak kisah jika 'terima kasih' itu tidak dinyatakan. Bagi golongan yang inginkan dirinya dihargai, sudah pasti kata-kata 'hikmat' itu perlu, jika tidak kebarangkalian untuk mereka untuk berkata-kata ayat ini adalah 99.99% ;

"Orang dah tolong penat-penat, sepatah ayat terima kasih pun tak cakap!"

Perkataan ini biasanya akan diungkap sama ada dibelakang atau dinyatakan secara monolog dalaman. Ada juga spesis manusia bila inginkan seseorang berterima kasih kepadanya, dia menggunakan 'isyarat' yang tertentu. Mereka akan menggunakan lenggok bahasa yang lebih halus, seperti dia sendiri yang berterima kasih kepada kita, walhal dia yang membantu. Pendek cerita, dia perli ang la tu!


Saat itu jika hendak makan dalam, terpulanglah kepada hak individu. Biasanya jika aku terlupa untuk ungkapkan perkataan terima kasih, sudah jadi perkara biasa jika terkena juga dengan ayat perli-memerli ni. Kelakar juga bila kenang balik entah macam mana aku boleh lupa berterima kasih dengan kawan aku tu. Mungkin otak tengah serabut, jadi semua benda boleh lupa.


Tapi hendak dipendekkan cerita, penting sebenarnya kita berterima kasih kepada orang ini. Bukan apa, ianya salah satu cara kita menghargai sesuatu usaha atau pertolongan yang diberikan oleh orang kepada kita. Bila orang sudah berbudi, maka kita berbahasa. Lagipun, budaya berterima kasih ini adalah budaya yang baik dan patut diamalkan. Ianya juga sebagai tanda kita beradab dengan orang yang sudah membantu.

Selain itu, biasanya jika ada pekerja restoran yang kutip pinggan kotor atas meja pun aku akan ucapkan terima kasih kepada orang tu. Bukan apa, jika kita hargai usaha mereka untuk buat sesuatu kerja, mungkin mereka lebih bermotivasi untuk buat sesuatu kerja tu dengan lebih baik, kan?

Tidak sukar pun untuk perkatakan perkataan terima kasih tu. Jika benda baik, apa salahnya ringankan mulut untuk berterima kasih kepada orang kan? Kita pun tidak rugi apa pun. Lebih ringan mulut kita menyenangkan hati orang, lagi orang senang hati.

Itu sajalah cerita untuk hari ini. Tiada idea sangat untuk menulis sebenarnya. Haha.

Sekian dan wassalam.


December 13, 2013

Keganasan Seksual di Republik Congo

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 



Penulisan kali ini bukanlah ditulis oleh diriku dan ianya merupakan penulisan oleh seseorang penulis yang diperolehi menerusi laman sosial Facebook. Ianya satu penulisan yang mantap dan mengenai keganasan sosial yang terpaksa dihadapi oleh wanita-wanita, gadis-gadis dan kanak-kanak yang telah menjadi mangsa keganasan secara seksual (rogol) oleh lelaki-lelaki di Republik Congo kerana pergaduhan sesama etnik yang terbesar. Berikut merupakan penceritaan dan penghuraian yang lebih teliti dan spesifik.

*******************************************************

Isu berkaitan kes rogol di Republik Congo sangat luarbiasa berbanding negara lain. Seorang pegawai kanan di Bangsa Bangsa Bersatu sendiri menggelar Republik Congo adalah ‘Pusat Rogol Dunia’. Jika diamati secara mendalam kes-kes rogol yang berlaku sangat tidak masuk akal dan di luar logik akal. Memang banyak juga terjadi kes-kes rogol di semua negara termasuk Malaysia pun tetapi jika jumlah yang dirogol dan perogolnya sangat banyak malah melibatkan banyak strata masyarakat ia merupakan satu gambaran betapa rendahnya tahap akal masyarakat mereka. Lebih hina lagi mangsa-mangsa rogol majoritinya kanak-kanak bawah umur serendah 18 bulan. Sehinggakan ramai yang mati kerana kecederaan dalaman yag serius.

Kes rogol di Republik Congo yang berleluasa sebenarnya bermula sejak awal 1990an lagi apabila perang saudara mula meletus di sana. Perseteruan antara pemberontak dan pihak tentera membentuk sokongan yang pelbagai di kalangan rakyat yang terhimpit. Rogol dianggap satu cara serangan kepada musuh dan dilakukan oleh kedua-dua pihak termasuk tentera kerajaan.

Menurut AFP Isu serangan kepada bayi dan kanak-kanak perempuan sudah sekian lama berleluasa tetapi kerajaan tidak serius menanganinya sekalipun mempunyai perundangan yang berat terhadap jenayah rogol. Rogol dianggap senjata peperangan dan amalan itu dilakukan dengan tanpa rasa bersalah dan diarahkan secara rahsia dalam arahan ketenteraan masing-masing. 

Sebelum mengulas jauh berkaitan insiden rogol ini. Kita lihat dulu sejarah negara ini untuk mendapatkan sedikit gambaran apa yang mendorong tradisi perang yang sangat kejam ini. Congo memperolehi kemerdekaan pada tahun 1960. Presiden baru ketika itu Mobutu telah memberi nama baru kepada negara ini sebagai Zaire. Mobutu telah mentadbir negara itu dengan autokratik dan kejam. Beliau yang mengasaskan rogol sebagai satu cabang ketenteraan.

Rogol bukan sahaja dilakukan kepada kanak-kanak kecil tetapi juga wanita dewasa tanpa mengira umur. Malah turut dilaporkan kes-kes lelaki dari semua peringkat usia turut diperkosa oleh lelaki dan wanita dengan niat mencetuskan gangguan emosi yang teruk selain dicederakan. Perkara yang sama turut dilakukan oleh pihak pemberontak yang membalas dendam kepada keluarga-keluarga pihak yang menyokong kerajaan. 

Pada tahun 1995 bertambahnya kemasukan militan asing kerana perang yang berlaku di Rwanda di mana pembunuhan besar-besaran berlaku kepada rakyat berbeza etnik yang merupakan kekejaman lazim antara pemberontak di beberapa negara Afrika khususnya Rwanda dan Burundi. Etnik Hutu yang merupakan majoriti di kedua-dua negara ini telah melancarkan serangan kebencian besar-besaran kepada etnik Tutsis yang merupakan etnik kedua terbesar di negara-negara berkenaan.

Hasutan pemimpin dan kebencian yang dilancarkan melalui serangan perang dengan pembunuhan kejam termasuk merogol sampai mati adalah manifestasi kebencian melampau antara rakyat sama negara sama ‘hitam’ dan sama postur tubuh malah bahasa yang sama cuma berlainan etnik sahaja ini. Hanya etnik Twa yang turut berkongsi ciri yang sama kecuali tubuh badan yang lebih kecil. 

Peliknya rasa kebencian antara Hutu dan Tutsis sangat melampau sekalipun mereka berkongsi akar keturunan. Tujuan saya berkongsi perihal suku Hutu adalah untuk menggambarkan asal tradisi rogol melampau di Congo. Apabila militan dan rakyat dari kedua-dua pihak menyeberang sempadan kerana keganasan perang saudara di Rwanda khususnya kemuncaknya pada tahun 1994 apabila hampir 800 ribu rakyat kaum Tutsis dibunuh dengan kejam secara besar-besaran oleh Kaum Hutu yang merupakan etnik terbesar di sana.

Keganasan ini menyebabkan sebahagian besar rakyat dari kedua-dua etnik melarikan diri ke Congo dan menambah lagi parah kepada amalan perang melalui rogol di negara berkenaan. Sekalipun tentera Congo turut mengamalkan serangan melalui rogol untuk menimbulkan ketakutan dan kesan trauma melampau tetapi perkara ini lebih diburukkan oleh militan Hutu yang turut sama menyerang penduduk Congo dengan cara yang dikatakan lebih kejam dan tiada perikemanusiaan langsung.

Perang Congo pertama merupakan berakhirnya pemerintahan Mobutu pada tahun 1995 dan diambil alih oleh AFDL (Alliance of Democratic Forces for The Liberation of Republic of Congo) diketuai Laurent Kabila apabila sepenuhnya menguasai bahagian Timur negara Congo. Namun demikian Joseph Kabila yang telah dipilih melalui pengundian dalam pilihanraya untuk menjadi presiden negara berkenaan. Perang Congo kedua turut meletus tidak lama kemudian dan berakhir pada tahun 2006.

Sekalipun perang secara rasmi tidak wujud apalagi dengan kehadiran pasukan pengaman dari Bangsa Bangsa Bersatu tetapi terdapat serangan berterusan antara puak dan pihak kerajaan sendiri. Semua serangan ganas ini tertumpu banyak di bahagian Timur Congo. Ini termasuk pertempuran sengit pada tahun 2007 antara tentera kerajaan Congo dan pemberontak Tutsis.

Antara sebab yang mencetuskan huru hara termasuklah perebutan tanah, sumber asli dan masalah ekonomi penduduk yang menjadikan emosi kebanyakan mereka menjadi terganggu dan bertindak di luar jangka. Selain kurang pemahaman terhadap hak-hak kemanusiaan. Rendahnya tahap pendidikan di negara berkenaan menyumbang kepada permasalahan sosial yang sentiasa memburuk. 

Menurut United Nation (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) sejak tahun 1998 lebih daripada 200 ribu kes rogol dilaporkan. Ini tidak termasuk yang sengaja didiamkan oleh mangsa dan keluarganya. Kejadian rogol dilakukan oleh kedua-dua pihak Tentera dan Pemberontak kepada pihak masing-masing. Dalam perang 5 tahun yang berakhir 2003 dulu 5 juta orang kebanyakan orang awam terbunuh. Dan antara 2006-2007 dlaporkan sebanyak 400 ribu keganasan seksual dilaporkan dalam tempoh kemuncak keganasan 12 bulan itu.

Tahun 2009 juga menyaksikan 7500 kes dilaporkan berlaku di Kivu dan banyak lagi tidak dilaporkan kerana rakyat tidak yakin kerajaan akan mengambil tindakan. Dalam beberapa kes selepas rogol mangsa dibunuh kejam termasuk disiat-siat tubuh. Human Right Watch (HRW) mengatakan dalam serangan bulan mac 2013 lalu pembunuhan dan rogol berlaku besar-besaran di bandar Goma oleh pemberontak manakala pihak tentera Congo membalas sama di Minova dengan menyerang etnik mereka pula.

Keganasan secara seksual mampu memberi kesan yang teruk
kepada mental  mangsa(trauma).

Dalam kebanyakan serangan wanita dirogol didepan bapa, suami dan anak-anak mereka dan mangsa-mangsa termasuk bayi-bayi kecil. Malah setiap aksi rogol dilakukan secara beramai-ramai dan berganti-ganti tanpa perasaan belas. Dalam satu insiden di Minova seorang warga emas berusia lebih 60an telah dirogol 3 lelaki. Dua dari depan dan seorang dari belakang di depan keluarganya. Beliau kini menghadapi trauma melampau dan lebih malang dibenci dan disindir suaminya sendiri yang mengatakan dia adalah isteri askar serta tidak mahu mendekatinya lagi (artikel berkaitan ada saya letak dalam komen).

Sebuah Kem Khas Pelarian mangsa rogol telah ditubuhkan dan diketuai serta dijaga oleh wanita kesemuanya kerana kebanyakan sangat trauma kepada lelaki disebabkan insiden rogol yang melampau. Sekalipun kerajaan menjamin untuk mengambil tindakan kepada tentera dan pegawai-pegawai kanan mereka yang terlibat sama tetapi penduduk terus skeptikal perkara ini akan berlaku. Pihak UN sendiri baru-baru ini mengugut kerajaan Congo untuk serius menghentikan serangan rogol kejam begini atau mereka akan keluar dari pasukan Pengaman.

Dalam satu kajian The Journal of American medical Association, 37.9% wanita di timur Congo menerima keganasan seks termasuk rogol. Dalam kajian pada 2010 pula, 1 daripada 5 orang wanita di timur Congo mengadu dirogol. Seorang pemberontak remaja yang baru berusia 16 tahun berkata mereka diberikan arahan untuk melakukan apasaja kepada wanita tanpa mengira usia dan dia telah mula merogol sejak berusia 14 tahun lagi. Mangsa rogol tidak hanya terhad kepada wanita saja.

Menurut pihak yang sama 23.6% lelaki di timur congo juga mengalami keganasan seks termasuk rogol. Dengan kajian yang sama didapati 1 daripada 4 lelaki telah mengalami keganasan seks dan merangkumi 10% daripada keseluruhan keganasan seks di Congo. Perogol-perogol kepada kaum lelaki kebanyakannya melibatkan wanita-wanita ganas dan dalam sebahagian kes lagi oleh lelaki sendiri.

Mangsa rogol lelaki juga menghadapi trauma dan digelar ‘Bush Wives’. Mereka memerlukan rawatan yang berbeza daripada mangsa wanita kerana tekanan yang tidak sama. Dalam seluruh kejadian keganasan seks 65% terjadi kepada kanak-kanak perempuan dan 10% daripadanya di bawah usia 10 tahun. Salah satu yang menjadi punca kepada kejadian ini adalah pemerdagangan manusia untuk tujuan pelacuran dan buruh paksa. Banyak kanak-kanak perempuan dipaksa menjadi pelacur di kem-kem pelarian, pasar-pasar, lombong-lombong dan pondok-pondok termasuk khemah yang didirikan khas untuk tujuan berkenaan.

Keganasan seks bukan sahaja menjadi mangsa rogol tapi juga termasuk keganasan yang melibatkan perbuatan seperti memasukkan botol ke kemaluan, masukkan ranting dan benda ke faraj dan dubur, memaksa mangsa melakukan seks sesama sendiri seperti anak lelaki dengan ibu dan adik beradik begitu juga bapa dan anak perempuan dsb, menuang getah cair ke dalam faraj, menembak faraj dengan pistol, ‘inducing’ objek untuk menggugurkan kandungan dan banyak lagi tindakan yang tidak bertamadun dilakukan oleh manusia yang sangat jahat akal fikirnya.

Pesalah pula kebanyakan adalah tentera dan militan. Namun terdapat juga banyak kes dilakukan oleh penculik-penculik untuk tujuan pemerdagangan manusia selain turut dilaporkan juga dilakukan oleh polis, orang awam dan penjenayah yang mengambil kesempatan dengan merogol mangsa yang telah dirogol. Dikatakan 54% daripada perogol adalah tentera FARDC (akronim dalam Bahasa Perancis untuk Tentera Congo) mengikut kajian tahun 2007 oleh UN.

Bulan April lalu 12 Pegawai Kanan tentera telah didakwa kerana memberi arahan rasmi dan direkodkan untuk merogol rakyat yang diserang. Mereka telah dipertanggungjawabkan terhadap kejadian rogol besar-besaran khususnya insiden bulan November 2012 lepas iaitu tragedi di Goma dan Minova yang melibatkan mangsa dengan jumlah yang sangat besar. Pihak militan yang menguasai bandar goma menghalau tentera kerajaan.

Tentera pula bertindak merompak dan merogol sebagai melempiaskan kekecewaan kepada kekalahan dalam pertempuran berkenaan. Mereka merogol kerana marah dan benci satu perlakuan yang sangat tidak masuk akal. Tetapi ada juga kes seperti seorang askar berusia 22 tahun yang ditangkap setelah memperkosa 53 wanita (artikel ada diberi di Komen) Beliau berkata diberi arahan boleh buat apasaja bila melihat wanita. Malah Ketua mereka memberi arahan khas dalam taklimat sebelum serangan untuk merogol sekurang-kurangnya 10 wanita. Beliau telah merogol termasuk kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun.

Tindakan askar-askar Congo tidak mencerminkan sikap pegawai kerajaan sewajarnya dan sikap mereka ini menjadikan negara mereka terus jauh dari rahmat dan kebahagiaan. Satu resolusi keselamatan dari PBB (UN) artikel 1888 yang berkaitan dengan usaha kearah menjaga kebajikan wanita dari serangan seks di negara-negara berperang tetapi tidak banyak usaha dilakukan oleh kerajaan Congo dalam hal ini. Namun barubaru ini setelah diberi tekanan lebih serius oleh PBB kerajaan Congo mula menguatkuasakan usaha kearah mempastikan tindakan lebih berkemanusiaan dilakukan oleh askar-askar negara mereka sendiri dan berjanji menyiasat semua insiden keganasan seks yang dilaporkan. Ini yang akhirnya membawa penahanan 12 pegawai kanan tentera berkenaan.

CNN melaporkan menurut Wakil Khas UN Margot Wallstorm bahawa 48 wanita dirogol setiap jam di Congo. Menurut laporan berkenaan juga. Situasi memaksa mereka berhadapan dengan risiko rogol yang kebanyakan berlaku di tempat terbuka dan di luar rumah ketika bekerja di kebun dan ladang. Mereka hanya ada dua pilihan kebuluran dan terus di rumah atau mendapatkan makanan tetapi menghadapi risiko rogol di luar. Kebanyakan demi hidup terpaksa mengambil risiko kedua.

Satu peristiwa tragis yang dilalui Masikka Katsuva ialah apabila rumahnya diserang oleh pemberontak. Suaminya dibunuh dan dikerat-kerat dan beliau dipaksa makan kemaluan suaminya. Anak-anak gadisnya berusia 14 dan 15 tahun dirogol beramai-ramai sehingga keduanya mengandung dan melahirkan anak. Keluarga suaminya membencinya kerana mereka dirogol walaupun bukan salah mereka.

Dia membawa kedua-dua anaknya dan ‘cucu’ ke tempat lain dan mulakan hidup baru. Semangat kuat beliau menjadikan beliau dilantik sebagai ‘mother figure’ dan banyak membantu mangsa keganasan seks dengan memberi bantuan psikologi dan perubatan kepada mangsa-mangsa di kem pelarian wanita mangsa keganasan seks.

Apabila dibandingkan dengan kehidupan kita di negara ini. Kita wajar sangat bersyukur kerana terhindar dari suasana yang menakutkan sebegini. Tidak dinafikan ada juga kes-kes keganasan seks menggemparkan negara sesekali tetapi tidak sekerap di Congo yang sehingga kini ‘berbangga’ dengan jolokan The RAPE capital of the World.

Memang agak malang negara-negara barat yang sering campur tangan dengan urusan negara-negara lain kononnya atas faktor keselamatan dan kebajikan tetapi bersikap selektif dalam beberapa isu lain. Amerika, Russia, Britain dan semua negara maju lain tidak serius dalam menangani isu ini di Congo. Jika di negara lain seperti di Iraq dan Libya mereka cepat mengambil keputusan dan bertindak tetapi kenapa tidak turut sama menyerang pihak yang menimbulkan keganasan di Congo.

 Jika keganasan berlaku kepada orang-orang kulit putih mereka akan cepat menyelar bangsa dan agama tertentu sebagai pengganas. Mereka juga mudah mencampuri mana-mana negara dalam konflik dalaman mereka atas nama pencegahan terhadap keganasan. Agak ironi sikap ini tidak ditunjukkan dalam isu di Congo ini

Kita bersyukur kerana hidup dalam suasana negara ditadbir dengan penuh hemah dan bijaksana. Kita boleh hidup aman damai dan pendidikan yang semakin maju membentuk kumpulan masyarakat yang bijaksana berfikir dan boleh membezakan perkara baik dan tidak. Masyarakat yang maju pemikirannya akan merangsang pihak lain untuk mengekalkan budaya cara berfikir sama. Moga keganasan melampau di Congo akan berakhir sepenuhnya dan mereka hidup dengan tenang dan aman.

Pada masa yang sama kita semua wajar menjadikan apa saja yang terjadi di negara-negara lain sebagai pengajaran berguna. Dalam apa jua situasi kita mesti tidak hilang pertimbangan dan mendahului nilai-nilai agama dan kemanusiaan sejagat dalam tindak tanduk agar tidak melakukan kekejaman dan menganiaya orang lain. Setiap kebaikan yang kita lakukan adalah sedekah dan akan dibalas dengan kebaikan. Setiap kejahatan akan pasti berbalik kepada diri sendiri.



*******************************************************

Sekian dan wassalam.

December 12, 2013

Akhirnya..





dalam diam jiwa si gadis berputik 
terhadap si teruna,
yang telah menjadi sahabatnya,
namun hasrat hatinya tidak kesampaian,
kerna dia mengerti kebarangkalian hubungan itu,
segala usaha yang tidak bersambut,
segala tindak tanduk yang dibalas;
 dengan cara penuh kesunyian,
khabar yang tidak bertanya, 
dalam segenap tahun,
maka si gadis mula bergerak;
mengundurkan langkahnya,
bukan berputus asa,
cuma tidak mahu keterpaksaan, 
kerana si gadis mengerti,
nilai harga diri seorang wanita.





Dalam meneruskan perjalanan,
si gadis berusaha merawat hatinya,
yang telah berkecai hingga butiran terakhir,
namun memori lama masih terpalit
dalam memori jangka panjangnya,
ingin dibuang, ingin dilupa,
namun semakin dikejar,
dihantui memori silam,
dan tenggelam gadis itu di dalamnya,
tidak mampu bernafas, 
menggelumpur kesakitan,
tangisnya tidak didengari,
kerana semuanya bermain dalam hati, 
tidak mampu diungkapkan.




Dalam segenap rintihan kepada Illahi,
Kini doanya dimakbulkan,
hadirnya insan yang menyambut hatinya,
yang cuba menghargainya,
yang berusaha ke arahnya,
lidah terkelu, hanya kesyukuran,
yang mampu diucapkan;
kerana di gadis percaya,
dia mungkin sudah berjumpa;
insan yang diperlukan olehnya.


December 11, 2013

Drawing Tablet Bamboo Fun : Percubaan Melukis

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat illahi kerana diberi peluang oleh-Nya mengurniakan satu bentuk kejayaan ringan - iaitu aku berjaya mengawal dan melukis dengan baik ketika berlatih menggunakan tablet lukisan Bamboo Fun. Faktor kejayaan ini bertitik tolak kepada rasa sebersalah kepada kakak aku yang kemarahan kerana aku jarang menggunakannya kerana tidak dapat mengawal dengan baik.

Mana tidaknya, selepas kena marah dengan kakak aku, aku terus rasa sebersalah sebab memperhabiskan duitnya dengan sia-sia tanpa ada sedikit usaha untuk berusaha menggunakan tablet lukisan itu. Aku pun dengan rasa rendah diri dan hina, terus membuka kotak dan menggunakan tablet tersebut dengan penuh rasa sebersalah pada masa yang sama cinta akan kakak aku.

Alhamdulillah, dalam masa 3 jam, aku berjaya menyiapkan 2 lukisan mudah figure manusia secara kartun dan menunjukkan kepada kakak aku dan seorang sahabat aku yang sangat hebat dalam penggunaan tablet lukisan itu. Di bawah ini adalah hasil lukisan aku yang berjaya menjinakkan diri dengan alat tersebut. Hehehe. 




Bila dapat kawal benda ni, bukan main excited je aku melukis lukisan yang seterusnya. Seronok, macam boleh main-main, lukis muka-muka orang. Paling best boleh juga update blog dengan melukis banyak-banyak sikit, buat ekspresi muka manusia bila keadaan aku dalam situasi atau dalam perasaan yang tertentu. WOW, this could be facinating. Muehehe.

Bila aku upload dan post kepada kawan aku tentang perkembangan aku dalam penggunaan tablet lukisan itu, dia kata impressive dan aku sangat cepat belajar dalam pengawalan mata pen tablet tu. Katanya aku cepat adaptasi daripada manual terus kepada digital. Katanya biasanya orang hanya dapat mengawal tablet lukisan itu sekurang-kurangnya berbulan-bulan dan paling lambat pun setahun. 

Melukis menggunakan tablet lukisan Banboo Fun - Percubaan kali ketiga.

Manakala aku pula berjaya mengawal tablet tu dalam masa 3 hingga 5 jam. Perkara itu buat dia agak terkejut dan mula bertanyakan kepada aku macam mana aku melukis menggunakan tablet tersebut - adakah aku menggunakan mode 'zoom' untuk melukis bahagian mata? Kerana untuk melukis bahagian mata biasanya orang lain akan zoom terlebih dahulu kerana ianya merupakan bahagian yang memerlukan penelitian jika hendak mendapat hasil yang berkualiti.

Secara terus terang aku perkatakan, aku tidak zoom langsung ketika melukis pada bahagian mata manusia itu. Aku menggunakan mode actual yang terdapat pada Photoshop Elemen 10. Mode actual ini maksudnya kita melukis dengan bergantung kepada actual size lukisan itu, tidak menggunakan mood zoom atau dekat yang hanya nampak sesuatu bahagian tertentu sahaja. Contohnya jika hendak melukis bibir, maka kita akan fokus atau zoom sehingga skrin laptop itu hanya tertumpu kepada bahagian bibir sahaja. 

Boleh kata si kawan ni terkejut beberapa kali bila aku memberitahu perihal sebenar. Dia sangat terkejut dan mengatakan aku memang terlalu GILA. Dia bukan takat cakap aku gila, dia siap kata nak tumbuk-tumbuk je aku sebab terlalu cepat dalam membiasakan diri dengan penggunaan tablet lukisan ini. Dan ayat yang paling buat aku rasa sebak bila dia cakap ;

"Welcome to Indie Artist World."

Oh my, sudah terasa bahang menjadi pelukis pula, padahal baru berjinak-jinak dengan tablet lukisan ni. Subhanallah. I'm glad diberi peluang untuk memiliki tablet lukisan ini. Okay, lepas ini kena berjinak-jinak lagi dengan tablet ini. Alhamdulillah, rasanya aku dah mula menggorak langkah secara perlahan-lahan dalam dunia seni. Hehe. 

Sekian sahaja daripadaku, wassalam. :)


December 10, 2013

Keperihalan dan Kemajuan Negara Jepun

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Jepun merupakan sebuah negara kepulauan di Asia Timur yang terletak di sebelah Timur Laut Jepun, dan berjiranan dengan Republik Rakyat China, Korea dan Rusia. Negara ini terdiri daripada 6,852 pulau yang membentuk gugusan kepulauan. Honshu yang merupakan pulau yang terbesar, Hokkaido, Shikoki dan Kusyu merupakan pulau-pulau utama dari Utara ke Selatan.

Pulau-pulau di Jepun sebahagian besarnya adalah bergunung-ganang, dan ada sebahagian antaranya gunung berapi. Gunung Fuji merupakan gunung tertinggi di Jepun dan merupakan sebuah gunung berapi yang pendam. Jumlah penduduk bagi negara matahari terbit pula adalah sebanyak 128 juta orang, dan jumlah ini telah menjadikan negara tersebut antara 10 negara yang mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai di dunia. 

Ibu negara Jepun ialah Tokyo, kawasan yang bertaraf metropolitan yang memiliki daerah metroplitan yang terluas di dunia serta kepadatan penduduk yang mencecah lebih daripada 30 juta orang. Negara Jepun antara negara yang mempunayi kuasa ekonomi utama dan terbesar serta mempunyai sistem pertahanan yang cukup canggih. Negara ini juga merupakan antara pengeksport keempat yang terbesar dan negara pengimport keenam terbesar di dunia. Dalam bidang Teknologi juga Jepun merupakan negara yang termaju dalam bidang telekomunikasi, kejenteraan dan robotik.

Sudah dijelaskan secara ringkas berkenaan dengan negara Jepun. Jepun merupakan salah satu negara yang telah termasuk dalam senarai tempat yang ingin aku lawati apabila tiba waktunya nanti. Sudah lama keinginan ini dipendamkan, iaitu sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila aku mula menjinakkan minat dalam menonton animasi dari Jepun a.k.a Anime. Tidak dinafikan juga, aku mula belajar bahasa jepun (sikit-sikit) daripada hasil tontonan animasi tersebut.

Haruhi Suzumiya - salah satu karakter animasi Jepun.
Apa yang aku perhati sepanjang menjadi peminat animasi ini adalah budaya kehidupan mereka. Bagi aku, memang benar Jepun ini terkenal dengan sikap dan budaya yang sopan santun. Sebagai contoh beberapa siri drama Jepun yang aku pernah tonton mempamerkan budaya sering meminta maaf, menuturkan kata-kata yang sopan walaupun tengah marah.

Bukan itu sahaja, masyarakat jepun memang terkenal dengan budaya membaca. Jika diperhati persekitaran rumah (dalam cerita-cerita yang ditonton) rak buku adalah satu kewajipan buat mereka. Tidak kiralah sama ada mereka membaca majalah, komik atau buku-buku ilmiah, tetapi ruang membaca sentiasa ada di dalambilik mereka. Tidak percaya? Cuba tonton siri kartun paling terkenal di Malaysia setiap hari Sabtu jam 7.30 malam di NTV7  ; Doraemon. 

Dipendekkan cerita, masyarakat Jepun mempunyai kualiti dan etika seperti mana umat islam suatu ketika dahulu. Jika kebanyakkan umat islam bersikap seperti masyarakat Jepun, aku percaya Malaysia sudah pasti berjaya dan maju dalam pelbagai aspek. Kualiti dan etika yang dipegang oleh mereka memperlihat disiplin yang kukuh serta pengawalan hawa nafsu. 

Daripada hasil pemerhatian dan pembacaan mengenai masyarkat Jepun, aku boleh faham mengapa Dr Mahathir sangat beriya-iya mahu masyarakat Malaysia khususnya Melayu untuk mempunyai sikap seperti masyarakat Jepun. Dr.Mahathir telah menyatakan hasratnya dalam satu ucapan di Majlis Sepetang Bersama Dr Mahathir di Subang Jaya.
"Semasa saya menjadi perdana menteri dahulu, saya ingin tukarkan orang Melayu menjadi seperti Jepun tetapi beragama Islam dan menggunakan nama Melayu. Tidak akan hilang Kemelayuan seseorang itu jika mengamalkan budaya Jepun kerana kebanyakan budaya mereka berteraskan Islam." - Dr. Mahathir 
Itu tidak disentuh lagi berkenaan dengan budaya kerja mereka, yang mana mereka mengamalkan budaya kerja "Samurai Bushido" yang mana prinsip-prinsip kerja dihayati sepenuhnya. Mereka meletakkan komitmen yang penuh dalam menjalankan kerja dan jika boleh mereka mahu sahaja kerja selama 24 jam. Hal ini kerana mereka biasanya bekerja melampaui waktu bekerja. Subhanallah, jika umat islam bekerja seperti ini sambil mengingati Allah, sudah pasti Islam dipandang tinggi oleh masyarakat non-muslim. 


Tidak dinafikan, masyarkat mereka sangat bertanggungjawab, daripada ibu bapa sehinggalah kepada orang atasan. Sangat berbeza di negara kita, jika ibu bapa salah dalam membesarkan anak-anak, biasanya akan menuding salah kepada pihak yang lain seperti masyarakat di persekitaran mereka, dan ada juga yang salahkan pemimpin. Padahal mereka terlupa, sesuatu kaum itu tidak akan berubah melainkan mereka mahu mengubah diri mereka sendiri. Berikut merupakan beberapa amalan masyarkat Jepun yang dilakukan oleh mereka dan antara amalan yang dilakukan oleh masyarakat Jepun :
  1.  Di Jepun diajar pada awal sekolah rendah sehingga darjah enam dengan satu mata pelajaran yang dinamakann “Jalan kearah Akhlak” di mana pelajar mempelajari akhlak/etika dan cara berdepan dengan orang.
  2. Tidak ada kegagalan/failure pada awal sekolah rendah sehingga ke peringkat tiga pertengahan, kerana objektifnya ialah mendidik dan menanamkan konsep dan pembentukan pribadi/watak, bukan sahaja pendidikan dan indoktrinasi(dictation).
  3. Jepun walaupun salah satu negara terkaya di dunia, mereka tidak mempunyai orang gaji (servants), ibu dan bapa bertanggungjawab di rumah dan keatas anak-anak mereka.
  4. Kanak-kanak Jepun membersihkan sekolah mereka setiap hari selama 20min bersama-sama guru mereka. Faktor ini membawa ke arah kemunculan generasi Jepun yang sederhana dan minat kearah kebersihan.
  5. Kanak-kanak di sekolah akan membawa berus gigi yang telah di“disinfected”/sterilkan, dan mereka membersihkan gigi mereka di sekolah setiap kali lepas makan bagi mengekalkan kesihatan pada usia yang muda.
  6. Pengetua sekolah akan memakan makanan pelajarnya selama setengah jam bagi memastikan keselamatan mereka, kerana pengetua menganggap pelajar adalah masa depan Jepun yang perlu diberi perlindungan.
  7. Pekerja pembersihan di Jepun digelar sebagai “Jurutera Kesihatan” yang gajinya sebanyak 5000 hingga 8000 USD sebulan, tertakluk kepada ujian bertulis dan lisan.
  8. Dilarang mengunakan handphone di dalam tren/keretapi, restoran dan tempat-tempat yang tertutup, dan dinamakan status ‘silent’ di handphone sebagai “akhlak/etika”
  9. Jika anda pergi ke restauran buffet di Jepun, anda akan dapati bahawa setiap orang akan mengambil makanan dengan kadar yang diperlukan sahaja, dan tidak akan meninggalkan apa-apa makanan di atas pinggan.
  10. Kadar kelambatan keretapi/tren adalah sebanyak 7 saat sahaja dalam satu tahun, ini kerana mereka adalah orang yang tahu akan nilai masa, dan gemar kepada ketepatan saat dan minit.

Budaya membaca dalam kalangan masyarakat Jepun.

Hebat bukan masyarakat ini? Inilah antara sikap-sikap kebertanggungjawaban daripada golongan bawahan hinggalah golongan atasan. Masyarakat ini juga merupakan antara golongan yang sentiasa akur dengan pemimpin. Penahkan kalian mendengar masyarakat mereka membuat rusuhan dan memaki hamun pemimpin? 

Jika berlaku masalah bencana alam pun, mereka sama sekali tidak seperti masyarakat negara kita. Masing-masing sedar bahawa mereka mengalami masalah yang sama, dan mereka sentiasa berdisiplin, sehinggakan mahu mengambil makanan pun masih beratur dan tidak seorang pun memotong barisan. Masing-masing sibuk memainkan peranan dalam membantu orang lain dan memudahkan urusan orang lain. Subhanallah. Berbeza pula masyarakat di negara kita. 

Jika diberi peluang untuk hidup dan membina kehidupan baharu, iaitu Jepun dan Mekah. Jika hidup di Jepun, mungkin aku boleh didik diri membentuk diri menjadi seperti mereka dan di Mekah dapat membantu aku mendekatkan diri dengan-Nya dan beribadah kepadaNya. 

Sekian dan wassalam.


Nota kaki : Kena didik diri menjadi seperti masyarakat Jepun. #MuhasabahDiri *mengeluh*


Sumber rujukan : 


Harapan yang Mekar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Keeping Hopes Alive

Harapan, satu perkataan yang pasti akan memberi nafas baharu buat mereka yang masih mencari erti satu kehidupan yang lebih baik. Semua manusia memerlukan harapan agar mereka dapat percaya ada lagi peluang yang menanti di hadapan mereka. Harapan buat pendosa adalah pintu bertaubat,harapan bagi mereka yang telah hidup dalam kebencian adalah cinta, harapan bagi mereka yang hidup dalam kesusahan adalah pertolongan dan simpati bagi mereka yang melihat kesengsaraan. 

Hidup ini pada hakikatnya adalah kelabu, dalam keadaan yang samar. Banyak persoalan yang bermain dalam minda dalam bertanyakan perihal harapan. Adakah harapan masih wujud dalam sekian lama kita kecewa? Seolah-olah Maha Pencipta tidak mendengar setiap luahan dan kepenatan menanggung derita yang dihadapi. 

Dia Maha Mendengar, Dia Maha Melihat. Pada hakikatnya manusia terlalu sibuk memikirkan jalan penyelesaian dalam setiap permasalahan yang berlaku - seolah-olah mereka perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi itu secara berseorang. Sedangkan mereka terlupa, masalah itu hadir atas kehendakNya, maka hendaklah kita kembali dan mengingatkan diri kepadaNya dengan mendirikan solat secara khuyuk. 

"Jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya."

(Al Baqarah:45-46)

Solat adalah bukti ketundukan dan kepasrahan kita kepada Allah SWT, solat adalah doa, solat adalah ibadah yang bukan hanya memuji Allah SWT tetapi juga diisi dengan permintaan-permintaan kita kepada Allh SWT. Permintaan manusia itulah yang dikatakan satu simbolik pengharapan dan kebergantungan kepada-Nya.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamu adalah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." 
(Ali Imran :139)

Jangan lemah dan jangan mudah bersedih hati. Harapan sentiasa ada pada Dia - Allah SWT. Letakkan kebergantungan kepadaNya, letakkan harapan hanya kepadaNya. Jika kita mendapat jawapan atau penyelesaian yang bukan atas kehendak kita, maka bersangka baik kepadaNya kerana dia lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

Harapan itu tidak pernah jauh dan tidak pernah juga mati. Harapan itu sentiasa ada jika kita sentiasa PERCAYA bahawa sesuatu itu mampu dipulihkan, diatasi, diselesaikan dan lain-lain, dengan meletakkan kepercayaan kepadaNya. Syaratnya, jangan mudah mengalah, teruskan berusaha selagi masih berdaya. Berusaha, berdoa dan bertawakal.

Teruskan solat anda dengan penuh sabar dan khusyuk. Teruskan berdoa kerana sentiasa ada harapan buat hambaNya yang percaya. Harapan sentiasa mekar buat mereka yang masih percaya dan bergantung kepadaNya

Sekian dan Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...