W E L C O M E | Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat para pembaca senyap dan aktif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pembaca yang sudi menggerakkan jari-jemari halus menekan tetikus semata-mata mahu menjenguk, membaca dan memberikan komentar dalam blog yang sederhana ini.

P E R H A T I A N | Penulisan dalam blog ini telah menggunakan bahasa yang tidak baku secara total dan masih berstruktur. Jika bahasanya bukan pilihan anda, maka penulis ingin menyarankan agar saudara/saudari mula berganjak daripada menjenguk atau membaca blog ini sebelum penyakit Pembenci atau istilah lain ialah Haters mula menular di dalam blog ini. Sekian dan Wassalam.

P E N U L I S | Ameelia merupakan seorang penulis blog amatur yang telah melibatkan diri dalam bidang penulisan blog selama 8 tahun. Penulisan blog adalah berkaitan dengan liku-liku kehidupannya sebagai seorang hamba Allah, anak, isteri, guru di kawasan pedalaman, pelajar dan pelukis amatur. VIEW

November 28, 2012

Hilang Nyawa Kerana Si Teruna

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini nak tulis tentang apa ya? Kalau sudah dikenali dengan blog peribadi, maka sudah tentulah perkara yang sangat peribadi, kan? Biasanya saya akan tulis luahan rasa, kadang kala boleh jadi positif dan kadang kala negatif. Biasalah, manusia ni perlu seimbang. Kalau terlalu positif pun tidak baik juga. Sebagai contoh, kalau terlalu fikir atau terlalu baik takut ada orang ambil kesempatan. Bak kata pepatah melayu dulu-dulu, baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Kembali kepada topik, perkara yang ingin saya sampaikan pada kali ini berikutan dengan kejadian kematian seorang gadis berumur 16 tahun yang telah maut sebelum berjumpa dengan kekasih hatinya. Iya, cerita beberapa hari lepas. Benda ni kalau nak cerita lebih-lebih pun, rasa macam diri ini tidak layak kerana saya sendiri pun tidak berada di posisi keluarga dan rakan-rakan arwah.

Kematian sebagaian daripada realiti kehidupan.

Apa yang saya boleh ambil daripada hikmah kejadian tersebut, kita perlu sedar peranan kita sebagai seorang anak, terutama bagi yang beragama islam. Adalah menjadi kewajipan seorang anak untuk mendengar kata kedua orang tuanya dalam apa jua hal, kecuali perkara yang mengundang kemurkaan Allah, maka anaknya wajib tidak laksanakan tuntutan kedua orang tuanya. 

Berdasarkan cerita yang telah saya perolehi daripada laman sosial twitter, teman lelaki arwah tidak menceritakan secara terus perkara yang menyebabkan berlakunya kemalangan, namun begitu jika dibaca twit-twit yang telah ditulis, kita akan sedikit demi sedikit mendapat keseluruhan cerita. Secara jujur, semakin saya mengikuti perkembangan twit si pemuda, hari saya merasa sakit dan geram.

Kejadian yang berlaku adalah atas kehendak Allah kepada kita untuk menjadi pengajaran dalam hidup agar kita sentiasa sedar setiap langkah yang kita ambil ini sebenarnya mempunyai risiko yang tersendiri. Berdasarkan cerita yang telah saya perolehi hasil penelitian dan pembacaan daripada laman sosial pemuda tersebut dan berita yang telah ditulis dalam kosmo, arwah telah mengambil risiko untuk keluar daripada rumah tanpa restu ibunya untuk berjumpa dengan teman lelakinya.

Bila cinta terlalu buta sehingga melupakan yang Esa, maka akan ada segelintir manusia itu lupa akan peranannya sebagai seorang anak di mata Allah. Setiap langkahnya diburu rasa rindu kepada manusia dan dunianya sendiri hingga perilaku yang dihasilkan hanya memperjudikan nyawa sendiri. Kemalangan berlaku dan masa tidak boleh diundur kembali. Alangkah sedih bila manusia ini telah pergi dalam keadaan yang sia-sia.

Kesedihan menyelubungi mereka. - gambar hiasan.

Sebagai seorang muslim, saya kecewa dengan sikap mereka dan sedih dengan keadaan yang terjadi. Teman lelaki arwah menyalahkan ibu dan adik arwah atas kejadian yang menimpa arwah, sedangkan keluarganya mempunyai hak ke atas arwah untuk menghalang setiap tindak tanduk yang boleh mengundang dosa. Jika si teruna merasa sedih atas kehilangan arwahnya, mengapa tidak melihat kembali kepada posisi ibunya yang telah mengandungkan arwah dengan penat lelah selama 9 bulan? Siapakah lebih dalam cintanya kepada arwah? Ibu atau teman lelakinya?

Wahai wanita, kalian perlu sedar pada siapakah yang kita perlu sandarkan kasih dan cinta. Saya pernah bercinta dan pernah kecewa kerana cinta. Tatkala jiwa saya menangis kerana seorang pemuda, siapakah yang berada di sisi saya? Siapakah yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan ketika saya merintih dan merindui seseorang? Hanya Allah dan keluarga saya yang berada disisi. Allah telah memberi saya kekuatan untuk terus bersabar dalam mengharungi dugaan yang diberi oleh-Nya. Manakala ibu pula sentiasa mententeramkan dan memberi sokongan mental kepada saya untuk mengatasi masalah jiwa yang melanda diri. 

Tiada siapa yang lebih mengerti, hanya mereka yang melihat. Merekalah yang lebih banyak melihat dan mengetahui rintihan dan kedukaan yang saya hadapi. Tidak dilupakan juga rakan-rakan yang sentiasa memberi motivasi untuk bangun daripada terus tenggelam dalam rasa kepahitan, namun tiada siapa yang lebih memahami saya selain daripada Allah yang telah menciptakan saya dan ibu yang telah melahir dan membesarkan saya.

Jadi nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana, janganlah terlalu mudah dalam memberi dan menyandarkan rasa kasih yang belum tentu dimiliki atau memiliki. Letakkan rasa kasih dan cinta kepada yang Hakiki kerana hanya dengan mengenal Allah, insya-Allah kita tidak akan terlalu buta dalam mengejar cinta hamba-Nya. Buka mata, buka minda dan buka hati serta percayalah kepada yang Esa. Jodoh pertemuan seseorang hamba itu ada di tangan Allah, dialah menentukan jodoh kita sejak kita berada di dalam perut insan yang mengandungkan kita.

Sebagai hamba yang hina, saya mendoakan kalian mendapat jodoh yang terbaik. Amin. :)

Sekian dan wassalam.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Apa pendapat anda tentang penulisan saya?
Sila tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan :)

Jangan lupa LIKE! dan SHARE!

Terima kasih :)